Sunday, April 10, 2011

Suara ku berharap..

Rasanya agak lama ana menyepi dari dunia maya ni, di sebabkan waktu yang agak mengekang kehidupan, tangan ini seolah-olah merajuk kaku dari dunia penulisan. Namun sedari hakikat ini ana cuba bangkit sekali lagi dalam arena dakwah maya ini. Teguran sahabat membuatkan ana teringatkan kembali tentang perkongsian bijak ilmu Islami suatu ketika dulu bersama sahabat-sahabat. Mungkin tidak banyak yang ana ingin perkatakan disini ,cuma sedikit perkongsian tentang kupasan ana bersama-sama sahabat tentang tinta pejuang islam ikhwanul muslimin Mustafa mashyur “Jalan dakwah antara keaslian dan penyelewengan”. Memandangkan banyak sekali yang kita lihat pada waktu ini ramai sahabat-sahabat kita di luar sana futur di jalan dakwah, hati terasa cukup terpanggil untuk mengupas kembali buah-buah fikiran lontaran dari idea bjaksana sahabat-sahabat. Tentu sekali hati ini cukup-cukup terpanggil bila hati ini sendiri sedang berada di persimpangan laluan.

Memang tidak dapat di nafikan lagi bagi seorang pejuang islam, jalan menuju dakwah bukan lah sesuatu yang mudah untuk kita lalui,banyak mehnah dan tribulasi yang akan kita hadapi. Pelbagai karenah-karenah di dalam perjuangan seperti penyelewengan tidak kira dalam apa segi sekali pun. Kita sebagai pemuda dakwah hendaklah mengenal pasti penyelewengan-penyelewengan itu dan seterusnya menjadi tugas kita mengambil tindakan yang sepatutnya untuk membuang virus ini dari landasan dakwah yang sebenar. Sepertimana yang di katakan Allahu Ghayatuna yakni Allah matlamat kami,yang mana kita bekerja hanya semata-mata kerana Allah Ta’ala. Maksudnya di sini matlamat kita adalah matlamat yang asal tidak bercampur dengan matlamat-matlamat yang menyeleweng.

Di dalam buku ini juga banyak disebut tentang penyelewengan dari segi matlamat,sasaran,kefahaman dan juga dalam gerak kerja. Ada yang berbentuk zahir dan ada juga yang berbentuk batin. Apa yang ana ingin sentuh di sini ialah berkenaan penyelewengan dari segi matlamat iaitu menuju selain dari Allah. Sengaja ana menyentuh bab pertama yang berada di dalam buku ini kerana ia telah menjadi satu perbincangan hangat ana bersama sahabat-sahabat tentang isu ini. Penyelewengan di jalan dakwah bermula dari dari sudut batin adalah seperti penyakit hati, riak, takabbur, ujub, sombong dan sebagainya adalah punca utama yang menyebabkan penyelewengan ini berlaku. Bercakap mengenai hati, ia terlalu payah untuk kita terokai kerana ia terlalu halus perbahasannya. Mungkin ini dianggap benda yang remeh tapi jika kita biarkan akan mengakibatkan kesan yang cukup besar khususnya kepada sesuatu organisasi itu sendiri.

Sebagai jundullah kita harus lah sedar akan hakikat ini supaya kita tidak mudah teripu oleh habuan duniawi yang melekakan dan melalaikan kita sehingga membawa kita terhumban ke arah jalan penyelewengan ini. Sepertimana kata-kata Saidina Umar r.a diantara tanda-tanda orang yang takabbur ialah dia tidak mengiktiraf kerja sahabat-sahabat seperjuangannya sendiri dan yang seterusnya hanya menganggap dia saja yang betul,sifat ini datang apabila orang yang berkenaan mempunyai sesuatu dalam dirinya iaitu penyakit hati. Untuk mengelakkan diri kita dari terjebak dalam sifat-sifat yang seumpama ini ialah dengan kita selalu bermuhasabah dan juga suka mendengar nasihat orang lain untuk kita sama-sama menjaga keaslian jalan dakwah yang telah di bawa.

Ana cukup kagum dengan sahabat-sahabat yang bersungguh-sungguh dalam memberi idea dan pendapat masing-masing tentang isu yang dikemukakan dalam buku kecil ini. Banyak pandangan sahabat yang cukup menyedarkan diri ana.Terasa cukup tenang melihat wajah sahabat-sahabat seperjuangan di bumi Allah ini yang berusaha seikhlas mungkin dalam memajukan diri demi kelangsungan agama Allah. Syukur pada Mu ya Allah kerana kurniaan Mu pada hamba sahabat-sahabat yang bernas teguran mereka,tajam pula pemikiran mereka dalam memacu keaslian jalan dakwah.

0 comments:

Post a Comment